GIATMARA Keningau latih 10 golongan rentan buat kabinet moden

oleh Social Online · · 📝 Blog
GIATMARA Keningau latih 10 golongan rentan buat kabinet moden
KENINGAU: Seramai 10 peserta mengikuti Program Latihan Kemahiran Golongan Rentan (GR) menerusi Kursus Teknologi Pembuatan dan Pemasangan Kabinet Moden anjuran GIATMARA Keningau dari 24 hingga 28 Oktober lalu.

Program yang berlangsung di GIATMARA Keningau itu bertujuan memperkasa golongan rentan melalui latihan kemahiran bagi meningkatkan peluang pekerjaan, menjana pendapatan dan menggalakkan usaha bekerja sendiri.

Sepanjang lima hari latihan, peserta diberikan pendedahan teori dan praktikal berkaitan proses pembuatan serta pemasangan kabinet moden, termasuk penggunaan peralatan dan teknik kerja yang betul.

Bagi menyokong penyertaan peserta, pelbagai kemudahan disediakan termasuk makan dan minum, elaun latihan, elaun pengangkutan serta dua helai baju bagi setiap peserta.

Peserta turut menerima peralatan untuk dibawa pulang dan sijil selepas menamatkan kursus sebagai pengiktirafan terhadap penyertaan mereka.

Penyerahan peralatan disempurnakan Pengurus GIATMARA Negeri Sabah, Muliana Tawakim, dengan disaksikan Pengurus GIATMARA Keningau, Jamidol Alip.

Pada majlis sama, Muliana turut menyampaikan sijil penghargaan kepada GIATMARA Keningau sebagai pengiktirafan atas komitmen dan usaha menjayakan program berkenaan.

Dalam ucapannya, Muliana mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang terpilih mengikuti program itu.

Beliau turut menyeru peserta supaya memanfaatkan peluang latihan dengan sebaik-baiknya, menimba ilmu dan menguasai kemahiran dipelajari untuk menjana pendapatan serta meningkatkan taraf hidup pada masa hadapan.

Beliau berharap kemahiran dan peralatan yang diterima dapat digunakan peserta untuk mempraktikkan ilmu dipelajari, sekali gus membuka peluang ekonomi dan membantu mereka mencapai kehidupan lebih berdikari.

GIATMARA Keningau komited meneruskan usaha menyokong pembangunan kemahiran masyarakat menerusi program latihan yang memberikan manfaat dan membuka peluang ke arah masa depan lebih baik.
Kongsi: WhatsAppFacebookTelegramX (Twitter)LinkedInEmel
Sertai Kampung Sembang

Daftar percuma untuk menulis, menyiarkan tawaran dan berhubung dengan ahli lain.

Daftar percuma

Lagi blog