Pemilihan ahli WARISAN perlu kekal harmoni - Alida

oleh Social Online · · 📝 Blog
Pemilihan ahli WARISAN perlu kekal harmoni - Alida
SANDAKAN: Proses pemilihan kepimpinan Parti Warisan (WARISAN) diharap berlangsung secara sihat, harmoni dan lancar tanpa sebarang pergaduhan atau perselisihan yang boleh menjejaskan perpaduan dalam kalangan ahli parti itu.

Ketua Wirawati WARISAN Tawau, Alida Dangasan berkata, semua calon, perwakilan dan ahli perlu mengamalkan sikap matang serta berhemah sepanjang proses pemilihan berlangsung.

Menurutnya, setiap pihak perlu menghormati hak perwakilan untuk memilih calon masing-masing tanpa menjadikan perbezaan pendapat sebagai punca perselisihan.

Beliau berkata, amalan demokrasi yang sihat bukan sahaja memberi ruang kepada ahli menentukan kepimpinan pilihan, malah menuntut semua pihak menjaga hubungan baik demi kepentingan parti.

“Berbeza pilihan bukan alasan untuk bermusuhan. Kekalkan rasa hormat, utamakan perpaduan dan terus bersatu demi masa depan WARISAN,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Alida berkata, semua calon dan penyokong juga perlu mengawal emosi serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan sepanjang pemilihan.

Katanya, persaingan merebut jawatan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada proses demokrasi dalam parti, bukannya medan untuk bermusuh atau memutuskan hubungan sesama ahli.

Sehubungan itu, beliau berharap semua perwakilan dapat membuat pilihan secara matang dan menerima keputusan pemilihan dengan hati terbuka, tanpa mengira calon pilihan mereka menang atau sebaliknya.

“Perpaduan perlu terus menjadi keutamaan kerana kita berada dalam parti yang sama dan mempunyai matlamat perjuangan bersama.

“Kita mahu proses pemilihan ini berjalan dengan baik, dalam suasana harmoni dan penuh rasa hormat, tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.

Alida berharap perhimpunan itu menjadi platform untuk memperkukuh semangat kebersamaan serta membuktikan bahawa perbezaan pilihan dapat diraikan secara matang tanpa menjejaskan keharmonian parti.
Kongsi: WhatsAppFacebookTelegramX (Twitter)LinkedInEmel
Sertai Kampung Sembang

Daftar percuma untuk menulis, menyiarkan tawaran dan berhubung dengan ahli lain.

Daftar percuma

Lagi blog